Tatacara Mengisi Permohonan Sebagai Penjawat Awam Di Laman Web SPA

Contoh surat terima lantikan dari SPA

Haritu ramai juga bertanya mengenai SPA.
Malam ini baru sempat nak update maaf semua. Sebelum itu untuk mereka yang first time dengar SPA maksudnya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. 😊

Permohonan SPA boleh diisi oleh sesiapa sahaja yang mempunyai kelayakan PMR, SPM, STPM, Diploma dan Ijazah. Tidak semestinya anda kena ada degree then baru boleh apply SPA. 😉

Bagi anda yang ingin bekerja sektor kerajaan, inilah peluang terbaik anda untuk menjawat dalam perkhidmatan awam. Apa yang anda perlu buat adalah isikan maklumat lengkap dan boleh membuat pendaftaran SPA8i di portal rasmi SPA.

Sis ajar dulu cara isi borang permohonan: 👇

Berikut adalah cara mengisi borang permohonan SPA menerusi atas talian (online) seperti di bawah;

1. Layari ke laman web SPA8i dan isikan borang jawatan SPA, klik → Pemohon Pekerjaan SPA.

2. Daftar akaun SPA dan login akaun tersebut untuk mengisi borang maklumat pendaftaran pekerjaan dalam Perkhidmatan Awam Malaysia dengan mengisi borang SPA8i, klik → Borang Permohonan SPA8i.

3. Maklumat yang perlu anda lengkapkan dalam borang permohonan SPA8i adalah kata laluan/ soalan keselamatan, maklumat pemohon, maklumat akademik, maklumat ko-kurikulum, jawatan dipohon, pengakuan pemohon dan semakan permohonan.

4. Selepas isi maklumat permohonan SPA8i  dengan lengkap, anda boleh submit!

5. Permohonan anda telah dihantar dan sedang diproses.

Next tips Kemaskini Jawatan Kosong SPA dengan Betul. 👇

1. Pastikan semua maklumat diri anda yang diminta diisi dengan baik dan disimpan selepas membuat sebarang perubahan.

2. Masukkan semua peringkat tahap pendidikan yang anda ada pmr/spm/diploma/ijazah dan sebagainya dan pastikan kelayakan anda diiktiraf oleh https://app.mohe.gov.my/iktiraf/index.php?pg=1

3. Harus diingatkan Pemegang Diploma dibenarkan untuk memohon jawatan bertaraf SPM/DIPLOMA manakala Pemegang Ijazah boleh memohon jawatan bertaraf Diploma/Ijazah. Kalau anda ada Ijazah tapi apply jawatan bertaraf SPM jangan hairan kalau sampai sekarang anda tak dipanggil.

4. Tiada Urusan Pengambilan Pada Masa ini adalah salah satu masalah yang paling banyak orang terima dan sebenarnya cara untuk menghilangkan masalah ini dan memberikan SPA menunjukkan result permohonan terkini anda, anda hanya perlu delete kesemua permohonan yang telah anda buat sebelum ini yang telah melebihi tempoh 1 tahun dan masukkan kembali jawatan-jawatan terkini yang ditawarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

5. Selepas anda remove semua jawatan² yang anda mohon yang telah melebihi 1 tahun dan telah masukkan jawatan terkini yang mereka tawarkan pastikan anda klik pada pengakuan pemohon dan membuat pengesahan permohonan.

6. Anda boleh membuat 15 permohonan bagi setiap tempoh 1 tahun dan pastikan anda tidak memohon melebihi 15 jawatan.

7. Tidak Menepati syarat Pelantikan Jawatan.
Masalah ini adalah berpunca daripada jawatan yang anda pohon tidak sesuai dengan kelayakan anda, Pastikan anda baca syarat-syarat penuh pelantikan jawatan yang anda mohon. Jangan main hentam tak baca syarat.

8. Pastikan anda tidak tertinggal untuk mengisi mana-mana kotak yang ditandakan dengan simbol * kerana kesilapan tersebut akan menyebabkan permohonan anda ditolak oleh sistem laman web SPA. Harus diingat bahawa sistem yang menyemak permohonan calon adalah arahan komputer yang telah disetkan. Sebarang kesilapan walaupun kecil akan di tolak terus oleh sistem.

9. Untuk bahagian alamat, saya sarankan anda menggunakan alamat yang selamat. Sebaik-baiknya adalah alamat yang mempunyai kotak pos (post box) berkunci. Kerana terdapat beberapa kes penyerahan surat Panggilan Temuduga tidak terserah kepada calon kerana alamat tidak lengkap atau calon tidak dimaklumkan oleh penerima tentang surat panggilan temuduga kerana menggunakan alamat orang lain.

10. Pastikan nombor telefon untuk dihubungi adalah nombor telefon bimbit anda sendiri YANG AKTIF. Kalau anda jenis yang suka tukar simkad pastikan update dekat profile. Anda juga dinasihatkan memasukkan nombor telefon ahli keluarga anda yang diketahui tidak sering menukar nombor telefon mereka. Sebaiknya adalah ahli keluarga yang tinggal serumah dengan anda.

11. Pada ruangan email, saya nasihatkan anda membuka alamat email yang kelihatan professional dan meyakinkan. Walaupun perkara ini nampak remeh, namun ia memainkan peranan penting semasa pihak SPA menilai PERWATAKAN dan SAHSIAH calon. Saya cadangkan anda membuat alamat email baru khas untuk temuduga. Ia bagi mengelakkan anda terlepas pandang email panggilan temuduga disebabkan oleh ratusan email dalam inbox email anda.

12. Semasa memilih jawatan, sebaik-baiknya anda;

- Memenuhi syarat skim perkhidmatan bagi jawatan yang dipohon – bermaksud sepadan 100% dengan kelayakan akademik anda. Klik pada maklumat Jawatan (Gaji/ Syarat Lantikan/Deskripsi Tugas) pada laman SPA untuk melihat kelayakan yang diperlukan.

- Menyusun susunan pilihan jawatan dengan mendahulukan jawatan paling sepadan dengan kelayakkan anda di ruangan pilihan yang teratas.

- Perhatikan juga syarat yang tertulis dalam kurungan contohnya (Keutamaan diberi pada calon yang berkebolehan dalam Bahasa Inggeris dan mengendalikan komputer), (Keutamaan diberi kepada calon yang lulus dalam salah satu daripada subjek Sains). Sekiranya anda memiliki apa yang disebutkan sebagai keutamaan ini, jadikan jawatan tersebut salah satu daripada pilihan utama anda. Sebaliknya, sekiranya anda tidak memiliki apa yang disenaraikan, jadikan ia pilihan terakhir.

- Peka dengan jawatan yang dipohon dan sebaik-baiknya pohon berdasarkan minat dan pengetahuan sedia ada anda. Ia akan banyak membantu semasa anda menghadapi temuduga nanti. Ini serius ya tak main-main. Semakin anda minat jawatan & bidang tersebut Insyaallah nak interview nanti pun senang nak jawab.

- Lihat pada bahagian Ko-Kurikulum, masukkan sekurang-kurangnya dua aktiviti sukan dan persatuan yang pernah anda sertai. Bagi yang tidak aktif dalam kegiatan Ko-kurikulum, cuba ingat kembali apa sahaja penyertaan anda. Anda pasti pernah terlibat walaupun secara kecil-kecilan. Pastikan anda mengisi bahagian ini kerana ia wajib bagi mendapatkan panggilan temuduga. Kerana terdapat syarat penilaian calon yang berbunyi “bukan berdasarkan kepada tahap kecemerlangan akademik semata-mata”.

- Ambil serius pada ruangan “Kebolehan Bahasa/Dialek Selain Bahasa Melayu” pula wajib anda mengisi dengan “BAHASA INGGERIS”. Penguasaan “BERTUTUR DAN MENULIS”. Ia akan memberi kelebihan kepada permohonan anda berbanding calon lain. Jangan takut untuk mengisi jawapan pada soalan ini. Kerana temuduga dalam Kerajaan Malaysia masih menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar untuk urusan rasmi kerajaan. Soalan yang perlu anda jawab dengan bahasa Inggeris semasa temuduga sangat sedikit.

- Menyemak butir-butir peribadi anda sekurang-kurangnya dua kali sebelum klik pada “Saya Setuju” dan menekan butang hantar. Setelah menghantar permohonan, semak inbox email anda untuk memastikan pihak SPA telah menghantar email sebagai pengesahan penerimaan pendaftaran anda. Sekiranya belum, sila hantar sekali lagi. Ini mungkin disebabkan ‘server’ sedang sibuk atau talian tergendala.

- Kemaskini permohonan anda sekurang-kurangnya setiap ENAM BULAN sekali.

INFO TAMBAHAN: 👇

1. Gais, dunia telah maju. Tolong buka mata. Mohon lupakan hasrat nak guna orang dalam atau "kabel". Mohon juga berhenti menuduh orang lain menggunakan kabel. Sekarang semua sistem yang pilih. Anda salah isi, anda akan ditolak.

2. Bagi mengisi kekosongan JAWATAN TETAP kerajaan, semuanya perlu melalui satu sahaja laman web. Laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Suruhanjaya ini bertanggungjawab dalam mengendalikan pengambilan kakitangan kerajaan yang tetap sepenuhnya.

3. BAGAIMANA HENDAK TAHU JAWATAN APA YANG KOSONG?

Jawapannya, anda tidak akan tahu. Kakitangan awam biasa juga takkan tahu. Boleh tanya guru besar di sekolah berhampiran, kalau² dia tahu berapa banyak kekosongan Pembantu Tadbir Gred N17. Jawapannya mungkin tidak tahu. Namun begitu, anda boleh membuat anggaran jawatan manakah yang akan diisi dengan banyak pada tahun ini.

4. Kekosongan jawatan kerajaan setiap tahun ditentukan oleh Waran Perjawatan bagi setiap jabatan. Jabatan Perkhidmatan Awam ialah badan yang bertanggungjawab menentukan hal ehwal penjawat awam dari segi perlantikan, gaji, persaraan, dan jumlah kekosongan setiap jabatan lain.

5. Waran Perjawatan ialah jumlah kakitangan yang boleh digaji oleh sesebuah jabatan. Waran diluluskan oleh kerajaan berdasarkan keperluan Jabatan terbabit untuk menjalankan tugas dan fungsinya. Di dalam waran perjawatan ada dijelaskan dengan terperinci jumlah orang, gred jawatan dan dimana dia akan bertugas. Setiap jabatan wajib mematuhi waran ini.

6. Jadi, kekosongan dalam perkhidmatan awam hanya akan berlaku atas tiga sebab;

1) Pertambahan Waran Perjawatan.
2) Kenaikan Pangkat.
3) Penamatan Perkidmatan.

Pertambahan waran berlaku sekiranya kerajaan berpendapat Jabatan tersebut memerlukan lebih banyak sumber manusia (man power) untuk berfungsi. Kenaikan pangkat dalam sesuatu organisasi akan menyebabkan kekosongan berlaku di gred yang ditinggalkan. Penamatan perkhidmatan pula berlaku apabila ada persaraan, kematian, atau ada penjawat awam yang menamatkan/ditamatkan perkhidmatannya.

7. Ada beberapa teknik untuk mengetahui jawatan mana yang sesuai dipohon bagi tahun semasa untuk meningkatkan peluang anda mendapatkan kerja dalam sektor awam. Sila beri perhatian kerana ramai yang ambil mudah dan sekadar memohon secara rawak sahaja.

8. Kaedah paling mudah ialah dengan memerhatikan iklan di laman web SPA. Dari semasa ke semasa anda akan dapat melihat iklan kekosongan yang terpapar.

9. Kalau anda jenis yang malas ambil tahu atau tak alert pada iklan kekosongan jawatan di portal SPA, lebih baik menjadi mereka yang boleh mengagak dengan lebih awal jawatan yang akan diiklankan. Caranya? Perhatikan pembentangan belanjawan bagi setiap tahun. Pembentangan belanjawan (budget) biasanya diadakan sekitar bulan Oktober. Abaikan pengumuman lain. Tumpukan perhatian kepada pecahan agihan peruntukan kepada setiap kementerian dan jabatan. Jabatan yang memperoleh peruntukan paling banyak mempunyai kemungkinan paling besar untuk menambah kakitangan sedia ada.

10. Perhatikan juga sebarang projek besar kerajaan. Sebagai contoh, pengumuman rancangan kerajaan untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah membuatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat pengambilan besar-besaran kearah menyediakan jabatan itu dalam perlaksanaan GST. Di sini anda sudah mengagak masih ramai kakitangan diperlukan.

11. Begitu juga dengan pengumuman projek pembinaan hospital, lapangan terbang atau lain lain projek mega kerajaan yang bakal dijalankan. Projek ini pastinya akan dan bakal mewujudkan banyak posisi kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam. Perhatikan bila projek itu akan dijangka siap, kerana pada tahun itulah pengambilan besar-besaran akan dilakukan. Maklumat seperti ini boleh membantu anda untuk memilih jawatan mana yang sesuai dipohon BAGI TAHUN ITU untuk meningkatkan kemungkinan anda dipanggil bagi menduduki peperiksaan memasuki skim perkhidmatan awam.

12. Ohya bagi iklan kekosongan jawatan swasta, memang benar, sekalipun anda berada sedikit di bawah kelayakan minima, anda digalakkan memohon. Masih ada peluang untuk dipanggil temuduga. Keadaan ini tidak sama bagi sistem online SPA. Jika tidak layak, nama anda akan digugurkan secara automatik. Jangan buang masa memohon jawatan yang anda tidak dapat penuhi syarat minimanya. Memang anda boleh memasukkan maklumat palsu, tapi percayalah, anda akan disuruh pulang sebaik sahaja bila dipanggil interview nanti.

13. Keadaan ini benar-benar berlaku. Banyak kekosongan jawatan beruniform biasanya menjadikan had ketinggian, bukaan dada dan berat badan sebagai pra-syarat. Jangan sangka dengan memasukkan maklumat palsu anda akan terlepas. Itulah perkara pertama yang akan disemak sekiranya anda dipanggil untuk temuduga atau ujian nanti.

14. Website SPA menyediakan senarai jawatan dan syarat minima yang diperlukan. Ambil masa untuk mengkaji dan menyenaraikan jawatan yang layak dipohon. Susun ikut keutamaan kelayakan akedemik anda. Maklumat ini boleh dicetak atau dituliskan terlebih dahulu sebelum anda mengisi borang online SPA8i.

Saya mampu kongsi setakat ini sahaja dulu.
Tips lulus exam, temuduga, ujian khas, etc yang tu pandai-pandai lah study sendiri. Jangan risau sekarang dah banyak jualan ebook tips lulus exam SPA, tips lulus temuduga kerajaan dan sebagainya. Berlambak, tinggal nak atau taknak je. 😂

Semoga bermanfaat.

Catat Ulasan for "Tatacara Mengisi Permohonan Sebagai Penjawat Awam Di Laman Web SPA"

Lagi Artikel Menarik...