Pencen Awal Dikalangan Guru Semakin Serius?


Bebanan kerja, tak mahir komputer punca guru antara punca yang menyebabkan ramai di kalangan guru yang ingin berpencen awal

Bebanan tugas pendidik selain sistem pendigitalan secara dalam talian yang tidak mampu dikuasai terutama dalam kalangan guru lama antara faktor ramai warga pendidik memohon untuk bersara awal.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, perkara itu antara isu yang sekian lama diperkatakan selain pernah diutarakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

“Faktor terbesar memang beban tugas sebab mereka sudah tak sanggup berdepan dengan kerja-kerja tersebut. Kita tak boleh sekat mereka untuk bersara, tapi yang penting ada usaha mengurangkan beban tugas guru ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris antara yang pa­ling ramai memohon bersara awal berdasarkan rekod KPM sepanjang 2021 dan 2022.

Menurut Fadhlina, bilangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang memohon persaraan pilihan berdasarkan enam opsyen utama tertinggi adalah Bahasa Melayu (2,862), Bahasa Inggeris (1,146), Mate­matik (1,015), Pendidikan Islam (755), Sains (629) dan Sejarah (483).

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pada masa ini diakui KPM mempunyai inisiatif dalam mengurangkan bebanan ditanggung oleh guru, namun keberkesanannya mungkin belum dapat dilihat lagi.

“Sudahlah bebanan tugas ditambah, tekanan guru-guru dengan sistem pendigitalan turut menjadi faktor,” katanya.

SISTEM pendidikan masa kini banyak berasaskan kepada teknologi maklumat.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang bekas guru Bahasa Melayu nekad bersara awal setelah tidak mampu menguasai teknologi bagi tujuan pengajaran.

Bekas guru sebuah sekolah menengah di bandar raya ini yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli, 58, berkata, dia menyedari tidak berupaya mengikut kehendak pengajaran semasa ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Saya mengakui tidak begitu mahir menggunakan komputer dan gajet lain sedangkan ia tuntutan pengajaran di dalam kelas pada masa kini.

“Saya akur untuk mengundur diri daripada profesion perguruan yang saya cintai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Catat Ulasan for "Pencen Awal Dikalangan Guru Semakin Serius?"